Suatu perkara yang membingungkan ramai orang adalah sebagaimana yang disebutkan pada sebahagian sumber bahawa Syeikhul Islam Rahimahullah telah menulis sebuah surat yang di dalamnya terdapat aqidah yang menyalahi apa yang beliau dakwahkan dan fatwakan sepanjang hidupnya, bahkan menjadi sebab beliau dimasukkan kedalam penjara.
- Muridnya -Ibnu Abdil Hadi- (Wafat tahun 744 Hijriah) Seperti yang terdapat pada (Uqududduriyyah: 197) yang dinukil dari Az-Zahabi.
- Az Zahabi (Wafat tahun 748 Hijriah) –muridnya- seperti yang telah dinukil oleh Ibnu Abdil Hadi diatas:
“….terjadi perkara yang panjang, kemudian dikirim surat Sultan ke Syam untuk memasukkannya ke dalam penjara, maka dibaca di hadapan ramai orang, maka orang-orang pun menjadi sedih. Dia dipenjara satu tahun setengah (iaitu pada tahun 707 Hijriah) kemudian dikeluarkan, dan dia diminta untuk menulis surat, diancam dan dijanjikan untuk dibunuh jika tidak menulisnya. Dia bermukim di Mesir membacakan Ilmu dan manusia berkumpul di sisinya.”
- Ibnul Muallim (Wafat tahun 725 Hijriah) di dalam kitab “Najmul Muhtadi wa Rajmil Mubtadi” (Naskah di Paris Nombor: 638) dan Nuwairi (Wafat tahun 733 Hijriah) di dalam Kitab Nihayatul Arab -lihat Kitab Aljami’ lishirathi syaikhil Islam Ibnu Taimiyah halaman: 181-182, pada kitab tersebut diterangkan bahawasanya Majlis (taubat, pent) tersebut setelah kedatangan Amir Husamuddin Muhinnan (Rabi'ul Akhir 707 Hijriah) dan Syeikhul Islam dibebaskan pada hari Juma’at bersamaan 23 Rabi'ul Awal 707 Hiriah.
- Ad-Duwadi (Wafat setelah tahun 736 H) menyebutkan dalam Kitab “Kanzud Durar” bahawa mereka mengadakan majlis berikutnya pada tarikh 12 Rabi'ul akhir 707 Hijriah setelah kepergian amir Husamuddin, dan terjadi kesepakatan untuk mengubah lafaz-lafaz tentang Aqidah dan berakhirnya majlis dalam keadaan baik.
- Ibnu Rajab (Wafat tahun 795 H) menyebutkan Dalam Kitab Dzail Alat Thabaqatil Hanabilah serupa dengan yang disebutkan oleh Ibnu Abdil Hadi pada Kitab Al-Uqud. Kemudian dia berkata : “Az-Zahabi, Al-Barzali dan lain-lain telah menyebutkan bahawa Syeikh telah menulis sebuah surat secara Mujmal (global) yang mengandungi perkataan dan lafaz ketika dia di ancam untuk dibunuh.”
- Ibnu Hajar (Wafat Tahun 752 H) dalam Kitab Ad-Durarul Kaminah serupa dengan apa yang disebutkan oleh An-Nuwairi dalam Kitab “Nihayatul Arab” kemudian Ibnu Hajar mengaitkan nukilan tersebut kepada Tarikh Al-Barzaliy.
- Ibnu Taghri Bardi (Wafat tahun 874 H) dalam kitab Al-Minhal As-Shufi serupa dengan apa yang disebutkan oleh Ibnu Hajar. Konteks penukilan menunjukkan bahawa dia menukil dari kitab Kamaluddin bin Zamlakani -permusuhannya dengan Syeikhul Islam sangat terkenal-. Di dalam kitab tersebut terdapat biografi Syeikhul Islam, dia juga telah menukil dari kitab An-Nujum Az-Zahirah.
- Ada pun Barzaliy (Wafat tahun 739 H) -Sahabatnya- tidak menulis sama sekali kejadian-kejadian tersebut pada tahun-tahun tersebut. (Aljami’ lishirathi syaikhil Islam Ibnu Taimiyah: 213-214)[1]
- Ibnu Katsir hanya menyebutkan kisah yang berkaitan dengan taubat tersebut pada peristiwa yang terjadi pada tahun 706 Hijriah tanpa menyebutkan kelanjutannya dengan cerita sebagai berikut: "Dan pada malam Aidul Fitri Al-Amiir menghadirkan Saifuddin Salaar perwakilan Mesir, 3 hakim, dan sekelompok Fuqaha’. Tiga hakim tersebut adalah dari mazhab Asy-Syafi’i, Al-Maaliki, dan Al-Hanafi, sedangkan fuqaha’ yang hadir adalah Al-Baaji, Al-Jazarii, dan An-Namruwy, dan mereka mengharapkan agar Syeikh Taqiyuddin bin Taimiyyah dikeluarkan dari penjara. Sebahagian hadirin mensyaratkan dengan beberapa syarat, di antaranya: Beliau mestilah merujuk dari sebahagian aqidah dan mereka mengirim utusan agar beliau hadir di tempat itu dan berbicara kepada mereka. Tetapi beliau menolak hadir (ke majlis tersebut) dan tetap hati (untuk tidak hadir). Utusan itu kembali sehingga 6 kali. Beliau tetap kukuh pada pendirian untuk tidak hadir, tidak menoleh pada mereka, dan tidak menjanjikan apapun. Maka majlis itu pun dibubarkan dan mereka pun kembali tanpa mendapat balasan”. Cerita tersebut memberi kesan bahawa sebahagian kisah taubat ini memang ada, namun akhir dari kisah tersebut adalah justeru menguatkan pendapat bahawa Ibnu Taimiyah lantas menulis surat yang menguatkan Aqidahnya, bukan surat yang menyatakan bahwa dia Adalah Asy’ari. Ibnu Katsir tidak mengisyaratkan penulisan surat di sini tetapi di tempat lain disebutkan bahawa Ibnu Taimiyah menulis jawapan ringkas terhadap undangan taubat dan menulis bantahan terperinci dalam kitab yang kemudian dinamakan Tis’iniyat. Akan datang penjelasan tentang sebab ditulisnya kitab ini disisi ketiga tertolaknya kisah akhir taubat Ibnu Taimiyah. Dari huraian di atas jelaslah bahawasanya:
-
- Sebahagian Ahli Sejarah tidak menyebutkan kisah tersebut dan juga sama sekali tidak ditulis.
- Sebahagian dari Ahli Sejarah hanya mengisyaratkan adanya kisah tersebut tanpa memperincikan surat yang ditulis dan atau menyebutkan bahawa penulisan surat tersebut disertai gertakan dan ancaman pembunuhan.
- Sebahagian dari Ahli Sejarah ada yang memperincikan dan menyebutkan teks surat tersebut, tetapi tanpa menyebutkan bahawa penulisan surat disertai gertakan dan ancaman pembunuhan.
Oleh kerana itu, dari isu ini dapat diambil salah satu sikap seperti berikut:
- Kita mendustakan semua yang telah disebutkan oleh para Ahli Sejarah baik secara global mahupun terperinci, dan kita katakan bahawa semua itu tidak mungkin terjadi.
- Kita menetapkan asas kisah tersebut, tanpa menetapkan apapun berkaitan rujuk dari Aqidah , dan tidak menetapkan tulisan yang penyelisihannya jelas dengan apa yang telah didakwahkan oleh Syeikhul Islam sebelum tarikh tersebut dan setelahnya.
- Kita menetapkan seluruh tulisan yang Ibnul Muallim dan An-Nuwairi telah menyendiri berkaitan masalah rujuk dan surat.
Yang tsabit berdasarkan pemeriksaan dan tarjih adalah sikap yang kedua: Iaitu Syeikhul Islam telah menulis ungkapan secara global setelah diancam dan digertak. Tetapi di dalam ungkapan tersebut tidak terdapat kata rujuk dari Aqidahnya, tidak melakukan jenaka terhadap aqidah yang batil, dan tidak menulis hal itu seluruhnya.
Hal tersebut disebabkan beberapa sebab yang dapat dilihat dari 3 sisi:
- Riwayat cerita
Khusus untuk Ibnu Hajar, kemungkinan beliau salah menukil atau menukil dari orang lain, kerana dalam Tarikh Al-Barzaly tidak disebutkan cerita tersebut, justeru Ibnu Rajab mengatakan bahawa Al-Barzaly (beliau tidak menyebutkan kitab Tarikh) dan juga Az-Zahabi menyebutkan sebahagian kisah yang mengatakan bahawa hal itu terjadi di atas paksaan dan tanpa ada kata-kata taubat kecuali kata-kata global sahaja.
Jika kita membandingkan riwayat-riwayat diatas, maka jelaslah kualiti periwayatan pihak-pihak yang mendokong Ibnu Taimiyah lebih unggul kerana terdiri dari para Huffaz yang telah disepakati dan juga sezaman dengan Ibnu Taimiyah, ertinya riwayatnya lebih ‘ali[2]. Adapun Ibnu Hajar, beliau menyalahi periwayatan Al-Barzaly, Az-Zahabi, Ibnu Abdil Hadi dan juga Ibnu Rajab. Lagi pula beliau menukil cerita tersebut kerana tidak Muasharah dengan Ibnu Taimiyah dan penukilannya dilihat sebagai Syaz[3].
2. Realiti setelah peristiwa tersebut
Sisi ini menguatkan sikap kedua berdasarkan fakta-fakta berikut:
-
- Tulisan ini menyelisihi Aqidah Syeikh yang beliau dakwahkan dan perjuangkan sepanjang hidupnya, sebelum kejadian tersebut dan sesudahnya.
- Tidak terdapat sedikitpun jejak di dalam kitab dan karangannya yang menunjukkan beliau telah rujuk, isyarat yang menunjukkan surat ini, atau isi dari tulisan ini. Padahal kisah tersebut terjadi sekitar tahun 707 Hijriah, sedangkan beliau Wafat tahun 728 Hijriah. Itu ertinya beliau dikatakan beraqidah Asy’ari selama kurun tersebut atau sekitar 21 tahun lamanya. Ini amat mustahil kerana Ibnu Taimiyah telah mengarang banyak kitab-kitab Salafiyah setelah tahun-tahun tersebut. Kitab Dar’ut Taarrud dikarang oleh Ibnu Taimiyah setelah kembalinya beliau dari Mesir seperti yang telah dijelaskan oleh Muhaqqiqnya dengan bukti-bukti yang amat jelas pada Muqaddimah Kitab tersebut. Kitab tersebut sangat terkenal dan kemudian dibantah oleh oleh tokoh Asyairah yang bernama Kamaluddin bin Syarisyi, kemudian dijawab oleh Ibnu Taimiyah dengan sebuah karangan sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Rajab, Ibnu Abdul Hadi, Az-Zahabi, dan Lain-lain. Kitab tersebut telah diringkaskan oleh Badruddin Al-Hakari, seorang Qadhi bermazhab Syafi'i. Syeikh Rasyad selaku Muhaqqiq berpedoman kepada ringkasan tersebut dan sembilan naskah lainnya. Naskah tersebut ada yang berbeza dan ada yang saling membenarkan. Kemudian setelah itu, Ibnu Taimiyah mengarang Minhajus-Sunnah, iaitu salah satu kitab salafiyyahnya yang paling terkenal.
- Syeikhul Islam Rahimahullah telah banyak diperlecehkan dalam berbagai masalah sebelum tarikh kejadian tersebut mahupun setelahnya, dipenjara kerana masalah tersebut, dan dicela. Tapi beliau tidak sedikitpun diketahui rujuk dari pendapatnya sedikitpun. Paling kurang beliau hanya berhenti berfatwa sebentar, kemudian kembali melakukan hal itu dan berkata: “Saya tidak dapat menyembunyikan ilmu”, seperti pada masalah Thalaq (Al-Uqud halaman 325), Bagaimana mungkin kali ini beliau menulis surat kepada mereka apa yang bertentangan dengan Aqidah Ahlissunnah dan bersetuju dengan Mazhab Ahli Bid’ah. Keadaan musuh beliau adalah seperti yang beliau sifatkan sendiri ketika dikatakan kepada beliau: “Wahai Tuanku! Sungguh telah banyak orang yang menentangmu!” Beliau berkata: “Sesungguhnya mereka seperti lalat, kemudian beliau mengangkat telapak tangannya kemulutnya dan meniupnya.” (Al-Uqud Halaman 268). Imam Az-Zahabi mensifatkan keteguhan Syeikhul Islam di depan musuh-musuhnya dengan mengatakan: “…..Hingga menentangnya sekelompok Ulama Mesir dan Syam dengan penentangan yang tidak ada bandingannya… dan dia orang yang teguh tidak terpujuk dan tidak suka, malah beliau tetap mengatakan kebenaran yang pahit sesuai dengan ijtihadnya, ketajaman fikiran, dan keluasan pengetahuannya pada qoul-qoul dan sunan.”
- Pemalsuan terhadap fatwa beliau amat sering dilakukan. Ibnu Katsir mengisahkan cerita penahanan beliau dalam peristiwa yang terjadi di tahun 726 Hijriah kerana berfatwa masalah ziarah kubur yang diadukan kepada sultan. Pengadunya mengatakan bahawa Ibnu Taimiyah telah menulis surat yang isinya pengharaman untuk menziarahi kubur nabi dan orang-orang soleh berdasarkan Ijma. Lalu Ibnu Katsir membela gurunya dengan mengatakan bahawa itu adalah pemalsuan kerana gurunya tidak berfatwa tentang keharaman berziarah secara umum, namun yang haram adalah mengadakan musafir semata-mata untuk berziarah. Adapun berziarah tanpa melakukan musafir justeru dianggap mustahab (sunnah) oleh gurunya. Pemalsuan fatwa beliau diakui banyak Huffaz diantaran Az-Zahabi, Ibnu Abdil Hadi, Al-Barzali dan beliau sendiri di dalam Majmu' Fatawa dan salah satu pengakuan tersebut juga terdapat dalam Muqaddimah Kitab Tis’iniyat yang ditulis khusus untuk membantah kalam nafsi dan Aqidah Asy’ariyah.
- Kisah Ini terjadi Bulan Rabi'ul Awal tahun 707 Hijriah, sebelumnya iaitu akhir-akhir tahun 706 Hijriah beliau masih dalam penjara di Mesir dan dijanjikan pembebasan jika mahu mengubah beberapa perkara berkait Aqidahnya, namun Ibnu Katsir menjelaskan bahawa di akhir tahun 706 Hijriah ketika utusan dari sultan bolak-balik untuk mengundang beliau dan bahkan dijanjikan pembebasan, beliau tetap teguh dengan pendiriannya. Namun dia tidak menyebutkan teks perkataan dan tulisannya.







